fbpx
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di kawasan Perindustrian Meru, Klang. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

‘Saya bawa isteri ke Malaysia sebab sini mudah cari kerja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Tembelang segelintir warga asing menggunakan ‘pasport kosong’ sejak lima tahun lalu berjaya dibongkarkan dalam serbuan ke atas sebuah kilang di kawasan Perindustrian Meru di sini hari ini.

Serbuan selama sejam bermula pukul 11 pagi itu berjaya menahan 43 individu termasuk pasangan suami isteri berusia 21 hingga 45 dengan rata-rata mereka merupakan warga Myanmar dan Bangladesh.

Sepanjang operasi itu, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri termasuk terjun dari asrama selain helah mahu bertemu rakan bagi mengelak ditangkap pihak imigresen.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, ‘pasport kosong’ itu berlaku disebabkan kemungkinan warga Myanmar terbabit pernah bekerja atau melancong ke negara ini sebelum pasport mereka tamat.

Katanya, warga asing itu kemudian membuat pasport baharu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita panggil kosong sebab tiada permit kerja dan cap masuk ke negara ini. Keadaan ini meragukan kerana tiada pengesahan berada di negara ini meskipun pasportnya sah sampai 2019,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan.

Jelas beliau, terdapat warga asing yang tinggal lebih masa sehingga lima tahun dengan menyalahgunakan permit kerja dari sektor pembinaan ke kilang.

Siasatan awal mendapati warga asing yang ditahan bekerja sejak dua tahun lalu di kilang berkenaan.

“Malah 32 warga asing itu mempunyai kad perakam waktu bekerja. Ini menunjukkan majikan mengambil sikap sambil lewa mengenai prosedur pengambilan pekerja asing. Kos seorang pekerja asing adalah RM10,000,” katanya.

Siasatan lanjut akan dilakukan terhadap majikan di bawah Seksyen 6(1) (c) dan Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63.

“Berkaitan asrama itu, kita salurkan maklumat akan disalurkan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki Myanmar berusia 30 tahun yang ditahan memaklumkan dia memasuki negara ini sejak 12 tahun lalu.

“Saya sudah kahwin kira-kira lima tahun lalu dan membawa isteri ke Malaysia sebab sini senang (mudah) mahu cari kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN