KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim mula mengotakan janjinya untuk kembali berada pada prestasi terbaik selepas membantu pasukan menang 3-1 ke atas Malaysia University pada aksi pusingan 16 terbaik pertama Piala FA kelmarin.
Pada perlawanan di Stadium MB Petaling Jaya itu, Faisal yang mesra dengan panggilan Miki telah meledak dua gol pada minit ke-4 dan ke-44 untuk meletakkan skuad Gergasi Merah sebelah kaki ke peringkat suku akhir.
Sebelum ini, Miki tekad menjadikan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026 sebagai medan kebangkitan untuk mengharumkan semula namanya dalam arena bola sepak tempatan selepas ‘tregedi hitam’ jadi mangsa simbahan asid tahun lalu.
“Apa yang penting bagi saya adalah prestasi di atas padang, saya mahu prestasi kembali seperti dahulu. Ini bukan lagi fasa pemulihan, ini masa untuk bangkit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, pengendali Selangor FC, Katsuhino Kinoshi mengakui tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan selepas dibolosi pasukan Liga A1 Semi-Pro yang diwakili oleh ‘budak universiti’ itu.
“Saya sangat gembira pasukan dapat menang, tetapi seperti kita tahu, Selangor mempunyai ruang yang besar untuk berkembang.
“Namun, kita telah dibolosi satu gol yang sepatutnya boleh dielakkan. Mungkin ini kesalahan saya tetapi ini adalah sebahagian daripada bola sepak,” katanya.
Skuad Merah Kuning akan terbang ke Thailand pada hari ini untuk bertemu pasukan gergasi, Buriram United dalam aksi Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) pada Rabu ini.