PENAMPANG – UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkukuh komitmennya terhadap pemerkasaan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi penganjuran Karnival UDA Bersama BizFrancais Pernas.
Berlangsung di Buhavan Square bermula 15 sehingga 17 Ogos, penganjuran Karnival UDA adalah untuk mempromosikan pembangunan hartanah yang telah dimajukan oleh UDA serta memperkasa usahawan PMKS khususnya bumiputera dengan menyediakan platform untuk mereka memasarkan produk, membina jaringan niaga dan memperkenalkan jenama masing-masing kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyifatkan penganjuran karnival berkenaan selaras dengan aspirasi kementerian untuk menyediakan ekosistem kondusif bagi menyokong pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara.
“Kolaborasi strategik antara UDA dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) turut mencerminkan sinergi yang baik antara agensi-agensi di bawah Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkasa pembangunan usahawan tempatan yang tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama sebaliknya dibawa terus ke peringkat akar umbi.
“Melalui platform seperti ini, orang ramai akan didedahkan kepada pendekatan menyeluruh merangkumi akses pasaran, jaringan strategik dan pemerkasaan jenama menerusi penglibatan KUSKOP serta agensi yang ada seiring dengan agenda melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing, inovatif dan mampan.
“Penglibatan usahawan daripada pelbagai latar belakang perniagaan dan trade mix menjadikan karnival ini sebuah platform yang inklusif serta relevan untuk semua lapisan masyarakat.
“Kepelbagaian ini membolehkan pengunjung menikmati pelbagai tawaran produk dan perkhidmatan khususnya daripada usahawan tempatan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, penganjuran yang kini memasuki edisi keempat merupakan antara inisiatif berterusan UDA menyokong agenda pemerkasaan usahawan tempatan khususnya dalam kalangan bumiputera bagi mengukuhkan pertumbuhan perniagaan yang mampan dan berdaya saing.
“Kami komited untuk memastikan setiap usaha yang dijalankan memberi impak yang positif kepada masyarakat. Pendekatan ini selaras dengan prinsip penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’, Legasi (Legacy), Integrasi (Integrated), Ketelitian (Finesse) dan Memperkasa (Enrich) yang menjadi panduan dalam setiap operasi perniagaan bagi memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti dan pembangunan negara.
“Kami juga teruja untuk menjalinkan kolaborasi bersama Pernas dengan ‘Strategi Lautan Biru’ atau Blue Ocean Strategy untuk melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, karnival berkenaan mengetengahkan kira-kira 70 usahawan tempatan daripada pelbagai sektor perniagaan bertujuan memperkenal dan memasarkan produk mereka.
Inisiatif berkenaan turut menyasarkan jumlah jualan keseluruhan mencecah sehingga RM4.25 juta merangkumi sasaran jualan BizFrancais Pernas berjumlah RM4 juta dan usahawan UDA RM250,000 bagi sepanjang tempoh tiga hari penganjuran sekali gus menggalakkan perkembangan ekonomi setempat serta menyokong pembangunan berterusan keusahawanan tempatan.
Program BizFrancais yang dianjurkan oleh Pernas sejak 2019 pula bertujuan untuk mempromosikan industri francais dan memperkenalkan peranan, produk serta perkhidmatan Pernas sebagai agensi kerajaan yang diberi mandat membangunkan industri francais negara. -KOSMO! ONLINEU