SEREMBAN – Sabah FC mendapat bekalan selesa dalam pusingan pertama Piala FA selepas menewaskan Bunga Raya FC, 6-0, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, petang tadi.
Sabah mendahului tuan rumah dengan gol pertama pada minit ke-9 melalui Darren Yee Deng Lok yang menanduk masuk ke gawang Bunga Raya.
Serangan demi serangan Sabah tanpa henti ke atas gawang lawan yang dijaga M Satthyvel berjaya bolos lagi pada minit ke-18 oleh Fergus Tierney.
Bunga Raya FC yang dipimpin jurulatih, Zurin Adra Azhar nyata tidak berputus asa apabila cuba mengasak beberapa kali gawang lawang yang dijaga Damien Lim Chien Khai selepas minit ke-25 namun hampa.
Selepas minit ke-30, pemain Sabah di bawah pimpinan jurulatih baharu dari Australia, Daniel Jean-Paul Desvaux De Marigny banyak mengawal tempo permainan apabila hantaran bola dekat dan jauh dilakukan dengan kemas sementara pusingan pertama tamat.
Minit ke-44, Sabah dihadiahkan penalti dan berjaya menambah jaringan gol melalui sepakan bergaya Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew di minit tambahan pusingan pertama.
Kurang tiga minit beraksi pada pembukaan pusingan kedua, Sabah sekali lagi menambah gol dengan tandukan Darren Yee Deng Lok.
Darren Yee Deng Lok sekali lagi membuktikan kehandalannya apabila menjaringkan gol ke lima buat Sabah pada minit ke-52, sekaligus mendedikasikan jaringan hatriknya pada perlawanan kali ini.
Sabah nyatanya mahu memastikan mendapat bekalan gol selesa bagi perlawanan timbal balik kedua-dua pasukan yang dijadualkan pada September ini.
Gol ke enam Sabah ditambah pada minit ke-79, menerusi gol sepakan penalti oleh Ajdin Mujagic susulan pemain Muhammad Farhan Roslan dijatuhkan pihak lawan.- KOSMO! ONLINE