fbpx
Zara Qairina

JIPS siasat KPD, pegawai kanan kes Zara Qairina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bakal memanggil ketua polis daerah (KPD), ketua bahagian siasatan jenayah daerah (KBSJD) serta pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad berkata, keterangan ketiga-tiga pegawai berkenaan akan diambil dalam masa terdekat.

Ketika ditanya sama ada ketiga-tiga pegawai terbabit masih bertugas atau ditahan kerja atau ditukar ke bahagian lain, beliau berkata, ia masih dalam proses tindakan.

“Dalam proses dan tindakan,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan siasatan tatatertib itu membabitkan pegawai berpangkat Superintenden, Asisten Superintenden dan Inspektor.

Menurut beliau, pasukan JIPS akan dihantar ke Sabah susulan pembukaan Kertas Siasatan Tatatertib bagi menyemak kemungkinan berlaku ketidakpatuhan dalam penyeliaan kes tersebut.

Kes Zara Qairina, 13, menarik perhatian ramai apabila mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Kota Kinabalu pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokan harinya.

Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan kubur pelajar itu digali semula untuk bedah siasat bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar mendedahkan kegagalan pegawai penyiasat memohon bedah siasat dari awal dikenal pasti sebagai punca utama ketidakpatuhan prosedur operasi standard dalam kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI