fbpx
HIDANGAN yang disajikan di Restoran Central Asia, Kuala Lumpur bercita rasa tradisi Uzbekistan. – ISKANDAR ISHAK

Daging kuda tradisi Uzbekistan di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUAPAN pertama daging kuda yang direbus kosong tanpa sebarang perasa selama tiga hingga empat jam terasa agak asing, namun memikat.

Dipadankan bersama tomato, timun dan bawang segar, salad daging kuda itu menyerlah dengan tekstur empuk serta rasa masin yang sederhana.

Daging kuda juga lazim dihidangkan bersama plov iaitu nasi berempah tradisional Uzbekistan yang mengandungi daging kambing, kacang kuda, bawang putih dan bawang goreng.

Hidangan tersebut dimasak kira-kira tiga jam menggunakan periuk khas yang dikenali sebagai kazan bagi menghasilkan rasa dan tekstur yang sempurna.

Pengalaman menikmati daging eksotik tersebut penulis alami ketika mencuba masakan tradisional Uzbekistan di Restoran Central Asia, Megan Avenue 2, Kuala Lumpur.

Menurut pemilik restoran tersebut, Shuhrat Ziyatov Shukurkhonovich, daging kuda merupakan hidangan tradisi yang biasa dinikmati oleh masyarakat Asia Tengah.

“Di negara-negara Asia Tengah, kebiasaannya daging kuda dihidang sebagai sebahagian daripada perkongsian hidangan dalam majlis dan keraian.

“Daging kuda juga dipercayai mempunyai sifat panas, sama seperti durian. Oleh itu, memadai untuk seseorang menikmati satu atau dua potong sahaja,” katanya kepada CitaRasa.

ANTARA seleksi hidangan makanan di Restoran Central Asia, Megan Avenue 2, Kuala Lumpur.

Bagi mereka yang mahu merasakan makanan ruji Asia Tengah, roti Uzbek antara yang boleh dicuba. Ia diperbuat daripada tepung gandum, mentega, air dan garam.

Rasa lembut roti tersebut datang daripada doh yang diuli selama kira-kira 30 minit sebelum dibakar dalam ketuhar selama 30 hingga 40 minit.

Selain itu, antara pilihan lain yang menarik termasuk manti iaitu sejenis dumpling berinti daging dan bawang yang dikukus selama kira-kira 35 minit sebelum dihidangkan bersama yogurt asli.

Penggemar barbeku boleh memesan shashlik merupakan daging lembu atau ayam yang diperap bersama bawang, tomato dan teh hijau. 

Teh hijau membantu melembutkan tekstur daging serta memberi aroma yang lebih segar.

Sementara itu, shish kabob menawarkan rasa unik hasil kaedah memasak berbeza. 

Daging kambing digoreng terlebih dahulu sebelum dikukus tanpa menggunakan perapan atau rempah.

Untuk pilihan yang lebih ringan, salad achik chuchuk berasaskan tomato, timun dan bawang memberikan rasa segar yang seimbang.

SAJIAN daging kuda yang dihidang bersama tomato, timun dan bawang segar antara menu tarikan.

Satu lagi hidangan yang tidak wajar dilepaskan ialah tandir samosa iaitu pastri berinti daging yang dibakar dalam ketuhar tanah liat tradisional. 

Ia menyerlah dengan kulit rangup dan inti berjus, serta popular sebagai pembuka selera dalam sajian jalanan Uzbekistan.

Shuhrat turut menjelaskan bahawa kebanyakan masakan Uzbekistan tidak pedas dan jarang menggunakan rempah. 

“Sekiranya pelanggan menginginkan rasa pedas, cili akan disediakan secara berasingan. Pendekatan ini turut diamalkan di restoran ini.

“Dalam penyediaan makanan, kami biasa menggunakan minyak kapas, minyak zaitun dan lemak biri-biri,” katanya.

Untuk minuman, pelanggan wajib mencuba teh tashkent yang sesuai diminum bersama hidangan berat.

Minuman campuran teh hitam, teh hijau, lemon, daun pudina dan madu itu menghasilkan rasa yang seimbang antara manis, masam dan herba.

Sekiranya mahu rasa minuman yang lebih tradisi, pelanggan boleh memesan ayran yang memiliki tekstur lebih cair daripada yogurt biasa.

Minuman campuran yogurt asli, air sejuk dan garam itu memiliki rasa sedikit masin tetapi sangat menyegarkan terutama diminum sejuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN