PASIR SALAK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap cadangan menyerap kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ke jawatan tetap akan tersenarai dalam Belanjawan 2026.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan akan diputuskan oleh Kabinet kerana membabitkan implikasi kepada agensi dan kementerian lain.
“Kita telah meminta supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ada kemungkinan ia memberi faedah yang baik dan tidak menimbulkan polemik.
“Sebaik-baiknya dimasukkan dalam ucapan Belanjawan 2026,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Santunan Desa bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Kemas di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, di sini hari ini.
Menurut beliau, pada asasnya, jawatan ‘contract of service’ di Kemas telah sedia ada, malah mereka turut mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Jelasnya, jika penjawatan kontrak diserapkan kekal, ia tidak melibatkan penjawatan baharu dan perbelanjaan tambahan malah akan menjadi penanda aras kepada jawatan kontrak lain menjadi jawatan tetap tanpa pencen. – KOSMO! ONLINE















