ANCHORAGE, Alaska – Presiden Donald Trump dan rakan sejawatan beliau dari Russia, Vladimir Putin keluar tanpa mengumumkan gencatan senjata selepas berunding hampir tiga jam bagi menamatkan perang Ukraine, lapor saluran berita NBC News semalam.
Kedua-dua pemimpin cuma membuat kenyataan ringkas kepada umum dengan nada mesra, namun berpisah tanpa sebarang pencapaian signifikan. Rundingan di Anchorage itu berlangsung beberapa tahun selepas Russia menyerang Ukraine pada 24 Februari 2022.
“Tiada perjanjian selagi belum ada perjanjian (yang dipersetujui),” kata Trump.
White House sebelum ini memaklumkan bahawa mereka akan mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat tertutup itu.
Namun, kedua-dua pemimpin meninggalkan pentas sidang akhbar selepas 12 minit tanpa menjawab soalan daripada berpuluh-puluh wartawan Amerika dan Russia yang hadir.
Trump menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu di sebuah pangkalan tentera di negeri Alaska dalam usaha berani untuk merundingkan perjanjian damai dan menghentikan perang Ukraine yang berlarutan selama tiga tahun.
Tidak jelas apa yang dipersetujui dalam rundingan tersebut.
Trump hanya berkata, kedua-dua pihak mencapai kemajuan besar tanpa memberikan butiran lanjut.
“Kami belum sampai ke tahap itu tetapi kami mempunyai peluang yang sangat baik untuk mencapainya (gencatan senjata),” kata Trump.
Kepada Putin, beliau berkata: “Kita mungkin akan berjumpa lagi tidak lama lagi.”
“Lain kali (pertemuan selanjutnya) di Moscow,” balas Putin. – AGENSI