SAYA ingin bertanya, adakah disyaratkan bermimpi pilihan tertentu sebagai jawapan kepada istikharah yang telah saya lakukan?
JAWAPAN: ISTIKHARAH merupakan satu cara untuk memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi. Ia adalah satu sunah yang diajarkan oleh Nabi saw kepada umatnya.
Allah SWT menggalakkan hamba-Nya untuk memohon petunjuk kepada-Nya dalam menentukan pilihan-pilihan yang harus dipilih. Allah SWT berfirman:“Dan kamu mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Baqarah: 45)
Hukum istikharah adalah sunat dengan ijma’ para ulama, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Saidina Jabir RA: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengajarkan kami tentang istikharah pada semua perkara sepertimana yang Baginda SAW ajarkan kami tentang surah-surah di dalam al-Quran. Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang itu berasa ragu dalam sesuatu urusan, maka rukuklah (solatlah) sebanyak dua rakaat yang sunat dan bukan wajib. Kemudian berdoalah dengan doa: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjukMu menurut pengetahuan-Mu, dan aku memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon dari kelebihan-Mu Yang Maha Agung kerana sesungguhnya Engkaulah yang berkuasa dan aku tidak berkuasa.
Dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan aku tidak mengetahui. Dan Engkaulah Tuhan Yang Mengetahui perkara-perkara ghaib.”
“Ya Allah, jika Engkau tahu bahawa urusan ini baik untukku, pada agamaku, pada kehidupanku dan pada pengakhiran urusanku ini, maka tentukanlah ia dan mudahkanlah ia untukku, kemudian berkatilah untukku padanya.”
“Ya Allah, jika Engkau tahu bahawa urusan ini buruk untukku, pada agamaku, pada kehidupanku dan pada pengakhiran urusanku, maka jauhkanlah ia dariku dan jauhkanlah aku darinya, dan tentukanlah untukku kebaikan di mana sahaja ia berada, kemudian jadikanlah aku redha dengannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, 1166)
Selain itu, perlu diingatkan juga bahawa istikharah dilakukan bukan untuk memilih perkara ketaatan atau maksiat, halal atau haram, afdal atau kurang afdhal, namun ia untuk memilih dua perkara yang sukar dipilih kerana sama kedudukan dan kebaikannya.
Apabila seseorang telah melakukan istikharah, maka Allah SWT akan memberikan taufik dan hidayah kepada orang yang melaksanakannya untuk menyempurnakan urusannya dengan sebaik mungkin.
Bagaimanapun, telah menjadi kepercayaan masyarakat kita bahawa jawapan istikharah yang dilakukan oleh seseorang mestilah datang dalam bentuk mimpi ketika dia tidur. Hal ini seperti yang didakwa banyak pihak apabila melihat salah satu pilihannya di dalam mimpi, lalu mereka memilih berdasarkan mimpinya tersebut. Namun sebenarnya, perkara tersebut tiada sandaran di dalam syarak dan tidak disyaratkan jawapan tersebut melalui mimpi sahaja.
Bagaimanapun, jika masih tidak dilapangkan dada atau masih berasa ragu-ragu terhadap pilihan, maka hendaklah mengulangi istikharahnya sehingga dia merasa lapang dadanya untuk memilih.
Jika sekiranya masih juga dalam keadaan yang sama, maka jika dia boleh untuk menunda membuat pilihan, maka hendaklah dia menunda,
Namun, jika tidak boleh ditunda, maka hendaklah dia meneruskan urusan yang dirasakan mudah baginya. Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa tidak disyaratkan untuk bermimpi untuk mendapat jawapan terhadap istikharah, bahkan tidak memerlukan apa-apa petunjuk melainkan dengan dilapangkan dadanya dan dipermudahkan urusan.