PETALING JAYA – Lagu “Justice for Zara” yang tular di TikTok sejak insiden tragis menimpa arwah Zara Qairina Mahathir kini menjadi topik perdebatan hangat dalam kalangan netizen yang mempertikaikan kesesuaian lagu tersebut sebagai bentuk penghormatan.
Perkara itu dibangkitkan oleh pengguna @Muzuzxck yang memuat naik satu hantaran di platform X menyuarakan rasa kurang senangnya terhadap lagu tersebut yang didedikasikan kepada arwah Zara Qairina Mahathir.
“Sepatutnya kita melanjutkan doa buat arwah yang kita kasihi, bukanlah lagu. Itu lebih baik buat arwah dan buat kita semua yang masih hidup,” katanya sambil turut menulis doa, “اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها.”
Hantaran tersebut pantas mencetuskan pelbagai reaksi, malah ada yang mendakwa lagu itu kini menjadi medan meraih populariti atas nama simpati.
Seorang pengguna, @norrukhila menyokong pandangan itu dan mempersoalkan keikhlasan segelintir pihak. “Tetap tak elok. Dah ramai penunggang ‘engagement’ di luar sana,” tulisnya.
Sementara itu, @shzwnfrzna_ menyifatkan sesetengah pihak mengeksploitasi kes tersebut untuk menumpang publisiti manakala @hasfaniAhmad pula menyatakan, “Emosi orang sedang ditunggang demi konten.”
Dalam masa sama, lagu janaan AI “Justice for Zara” dilaporkan telah digunakan lebih daripada 5,000 kali di platform TikTok setakat ini, sekali gus menunjukkan impaknya yang besar dalam dunia maya.- KOSMO! ONLINE.