fbpx
Suspek (dua dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/ KOSMO!

Sempat lagi ragut rantai nenek ketika COD barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Seorang penghantar kurier direman enam hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas disyaki meragut wanita warga emas berusia 70 tahun di Bagan Lalang di sini, semalam.

Lelaki berusia 30 tahun itu direman sehingga 20 Ogos ini selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Balqis Roslin bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa didatangi suspek yang menaiki kereta jenis Proton Iriz yang memaklumkan kononnya mahu menghantar bungkusan secara bayaran tunai (COD).

Mangsa kemudiannya masuk ke dalam rumah untuk mengambil wang berjumlah RM31 sebelum menyerahkannya kepada suspek.

Bagaimanapun, suspek bertindak menggenggam tudung mangsa sebelum menolaknya hingga terjatuh dan merentap rantai leher emas yang dipakainya.

Mangsa dikatakan cuba melawan mengakibatkan rantai tersebut putus kepada tiga bahagian tetapi suspek sempat melarikan diri dengan satu bahagian rantai bersama wang tunai terbabit.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota berjaya menahan suspek di rumahnya di Taman Merak, Kulim, Kedah pada pukul 11 malam hari yang sama.

Difahamkan, suspek bertindak demikian ekoran duit pelanggan COD yang dipegangnya hangus dalam pelaburan Forex dan perjudian.

Suspek melakukan samun sebagai cara pantas untuk mendapatkan wang bagi menggantikan jumlah yang hilang kepada syarikat kurier.

Polis turut merampas resit jual beli emas atas nama suspek, wang tunai RM1,270, serta sebuah kereta Proton Iriz yang dipercayai digunakan semasa kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI