KUANTAN – Seorang penjaga kebun didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menawarkan rasuah RM1,500 kepada seorang anggota polis tahun lalu.
Tertuduh, Hiew Chee Yong, 47, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menawarkan wang tunai berkenaan kepada seorang pegawai polis berpangkat sarjan di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan sebagai dorongan untuk melepaskan dua lelaki yang ditahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Perbuatan itu dilakukan di Lokap Berpusat Indera Mahkota kira-kira pukul 3.10 petang pada 6 Mei tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Saifuldin Ab Rahman.
Dalam prosiding, Muhamad Saifuldin merayu hukuman diringankan dengan alasan tertuduh berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung isteri, dua anak serta ibu uzur. Bagaimanapun Ezuain Farhana mencadangkan hukuman setimpal dikenakan kerana kesalahan itu serius.
Mahkamah menetapkan hukuman denda RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda, serta memerintahkan wang rasuah RM1,500 itu dilucuthakkan kepada kerajaan. – KOSMO! ONLINE














