PETALING JAYA – Affin Group mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM267.6 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM228.8 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai selepas zakat sebanyak RM358 juta bagi tempoh tempoh tersebut, peningkatan sebanyak RM64.9 juta, atau 22.1 peratus berbanding RM293.1 juta tahun lalu.
Pertumbuhan tersebut dipacu oleh kenaikan pendapatan bersih sebanyak RM160.9 juta, yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan peruntukan penurunan nilai sebanyak RM80.2 juta.
Portfolio pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan turut meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun kepada RM74.1 bilion, berbanding RM69.0 bilion tahun sebelumnya.
Deposit pelanggan turut naik 9.8 peratus kepada RM78.2 bilion, manakala nisbah Akaun Semasa dan Simpanan (CASA) bertambah baik kepada 28.2 peratus setakat 30 Jun 2025 berbanding 25.9 peratus dalam tempoh sama tahun lalu, mencerminkan kejayaan berterusan AFFIN membina asas deposit kos rendah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, prestasi kukuh separuh pertama tahun ini membuktikan keberkesanan strategi pertumbuhan fokus di bawah Pelan Axelerate 2028 (AX28).
Jelasnya, pelancaran aplikasi perbankan mudah alih AffinAlwaysX pada Mei 2025 menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan CASA.
“Terbitan pertama Nota Tidak Bercagar Kanan bernilai AS$300 juta (RM1.26 bilion) telah terlebih langgan sebanyak 3.5 kali, menandakan keyakinan tinggi pelabur global.
“Langkah itu mengukuhkan akses kumpulan kepada pendanaan dolar AS yang kos efektif, serta memperkukuh kedudukan untuk meneroka peluang pembiayaan rentas sempadan strategik sejajar dengan AX28,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Affin turut mendapat pengiktirafan apabila penarafan MSCI ESG kumpulan dinaik taraf daripada ‘A’ kepada ‘AA’. – KOSMO! ONLINE