MERSING – Helah seorang lelaki dengan memberi alasan hanya menumpang cas telefon ketika serbuan sepasukan penguat kuasa tidak berhasil apabila dia dicekup berkhalwat dengan seorang gadis di dalam sebuah bilik hotel bajet di bandar ini, awal pagi tadi.
Dalam serbuan dijalankan pukul 1 pagi itu, pasangan yang dicekup itu masing-masing berusia 26 dan 19 tahun.
Jurucakap Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) berkata, pemeriksaan dilakukan selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan di premis penginapan tersebut.
“Sebaik pintu bilik dibuka oleh wanita berkenaan yang berpakaian t-shirt dan seluar panjang tanpa tudung, anggota penguat kuasa menemui seorang lelaki berseluar pendek tanpa baju sedang tidur di atas katil.
“Lelaki tersebut tidak menyedari kehadiran penguatkuasa dan terpaksa dikejutkan beberapa kali sebelum diminta membasuh muka bagi memastikan dia benar-benar sedar,” katanya di sini hari ini.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-duanya masih bujang dan bekerja di kedai yang sama di bandar berkenaan. Pasangan terbabit dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.-KOSMO! ONLINE