PUTRAJAYA – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali kekal dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, Bella empat tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah selepas menolak rayuan akhir Siti Bainun, 33, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.
Siti Bainun yang memakai jubah putih dan berada di kandang tertuduh, kelihatan tenang sejurus Azman selesai membacakan penghakiman panel.
Dalam penghakimannya, Azman berkata, panel mahkamah mendapati tiada apa-apa kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi atas dapatan terperinci hakim Mahkamah Sesyen.
“Setelah meneliti keseluruhan keterangannya yang diberikan pihak pendakwaan dan pembelaan, kami mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya atas kedua-dua pertuduhan melampaui keraguan munasabah dan perayu telah gagal untuk menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Dengan ini sabitan bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat untuk dikekalkan , rayuan atas sabitan adalah ditolak,” kata Hakim Azman.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Siti Bainun memfailkan rayuan akhir pada 2 Mei 2024 bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi.
Pada 2 Mei tahun lalu, Siti Bainun kekal atas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun itu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar rayuan berhubung sabitan yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum itu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan tersebut.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak notis usul dan afidavit bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhirnya.
Notis usul dan afidavit baharu itu adalah satu laporan polis yang dibuat ibu kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf pada 25 Julai 2024 dan salah seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes Siti Bainun sebelum ini.
Semasa prosiding Siti Banun diwakili peguam-peguam Mohd. Haijan Omar, Nurul Hafidza Hassan dan Nur Aminatul Mardhiah Md Nor.
Sementara pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab.- KOSMO! ONLINE