KANGAR – Seorang pemilik kedai percetakan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menggunakan mesin cetak tanpa lesen di premis perniagaannya pada tahun lalu.
Tertuduh Muhammad Suhail Sazali, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Kangar di sini hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 15 Oktober 2024, lebih kurang pukul 11.45 pagi, di premis Suhail Enterprise beralamat di Jalan Stadium Utama, Kangar, Perlis didapati menggunakan mesin cetak tanpa lesen yang sah daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen yang sama. Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Perlis, Esmahalil Ismail.
Tertuduh, Muhammad Suhail Sazali, 34, tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana perniagaan tidak stabil, memiliki enam pekerja serta ibunya tidak sihat selain tidak tahu keperluan mesin cetak perlu dilesenkan. – KOSMO! ONLINE