JURULATIH Selangor FC, Katsuhito Kinoshi enggan barisan pemain mendabik dada selepas melakar kemenangan pertama Liga Super dengan menewaskan Brunei DPMM FC 3-0 di Stadium MB Petaling Jaya, kelmarin.
Menurut Kinoshi, prestasi pasukan agak memuaskan, tetapi masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama daripada aspek penyudah yang dilihat belum cukup ampuh.
“Kemenangan 3-0 boleh dikatakan keputusan yang positif tetapi seperti saya katakan sebelum ini, barisan pemain miliki banyak peluang terbuka tetapi gagal disudahkan dan kita perlu bekerja lebih keras selepas ini.
“Namun, saya tidak mahu menyalahkan pemain individu sebaliknya ini adalah ruang yang perlu mereka selesaikan sendiri pada sesi latihan.
“Perkara ini penting kerana ada ketika peluang hanya datang sekali dan pastinya gol dapat mengubah keputusan pada mana-mana perlawanan,” kata pengendali dari Jepun itu.
Pada perlawanan itu, skuad Gergasi Merah sudah melupakan kekalahan Piala Sumbangsih apabila meraih gol hasil penyudah berganda Kevin Deeromram pada mini ke-5 dan ke-36 selain satu gol sumbangan Chrigor Moraes (m-67).
Mengulas lanjut, Kinoshi turut bangga dengan impak Deeromram yang dilihat tidak mempunyai masalah untuk mencipta kesefaham dengan pemain walaupun baru tiba penghujung bulan lalu.
“Saya berpuas hati dengan prestasinya (Deeromram) dan saya harap dia akan terus lakukannya (membantu pasukan),” katanya.
Selepas ini, skuad Merah Kuning bakal mengalihkan tumpuan untuk aksi Piala FA apabila bertemu Malaysian University Football Team (MUFT) dalam aksi 16 terbaik, Sabtu ini.