fbpx
Wan Jamal Abdul Salam (kiri) memeriksa tembakau kunyah yang dirampas pada sidang akhbar di Cawangan Penguat Kuasa JKDM Rantau Panjang, Rantau Panjang hari ini. -Foto ROHANA ISMAIL / KOSMO!

Gagal seludup lebih 2 tan tembakau kunyah dari Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Cubaan sindiket untuk menyeludup sebanyak lebih dua tan tembakau kunyah gagal selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menyerbu sebuah kawasan perumahan berhampiran Kampung Kukang, Kota Bharu dekat sini pada minggu lalu.

Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 4.30 pagi pada 4 Ogos lalu itu turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan menyita sebuah lori tiga tan dan lima buah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pemeriksaan di dalam lori dan lima buah SUV itu membawa kepada penemuan sebanyak lebih 2,587 kilogram tembakau kunyah pelbagai jenama.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, tembakau kunyah itu dipercayai diseludup pangkalan haram di Sungai Golok dari Thailand.

“Kesemua barangan tersebut dipindahkan ke dalam lima buah SUV sebelum dibawa ke kawasan perumahan di kampung tersebut.

“Siasatan mendapati, tembakau kunyah itu akan dibawa ke Lembah Klang kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada penduduk tempatan dan warga asing di sana,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguat Kuasa JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, nilai keseluruhan rampasan tembakau termasuk cukai dan kenderaan yang dirampas dianggarkan berjumlah lebih RM626,049.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI