MUAR – Seorang pengamal perubatan tradisional berputih mata apabila wang RM180,066 miliknya lebur diperdaya skim pelaburan bitcoin.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihak polis menerima laporan kejadian daripada mangsa seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun semalam.
“Mangsa, seorang perawat tradisional telah dihubungi oleh suspek seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Ogos menawarkan skim pelaburan ‘bitcoin’ dengan pulangan keuntungan antara 20 peratus sehingga 40 peratus.
“Mangsa kemudiannya diarahkan mendaftar di sebuah laman web pelaburan dan berhubung dengan seorang pegawai khidmat pelanggan untuk memulakan pelaburan sebelum membuat lima transaksi bermula 8 Ogos sehingga 12 Ogos dengan pemindahan wang ke dua akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM180,066,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, mangsa kemudiannya dimaklumkan bahawa keuntungan pelaburannya mencecah RM391,997.24 namun mangsa diminta membuat pembayaran tambahan sebelum wang tersebut dapat dikeluarkan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE