PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai satu percubaan jahat dan khianat.
Susulan itu, Perdana Menteri berkata, beliau telah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan siasatan telus dan segera.
“Kita masih belum reda daripada gejala buli di sekolah, muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan.
“Mutakhir adalah percubaan jahat dan khianat terhadap anakanda saudara Rafizi Ramli.
“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri saudara Saifuddin Nasution bagi memastikan siasatan telus dan segera,” katanya hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat Rafizi serta keluarga.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan seorang budak lelaki berusia 12 tahun menjadi mangsa serangan di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, sekitar pukul 2 petang tadi.
Mangsa yang juga anak kepada Rafizi dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal akibat kejadian itu.
Kementerian Dalam Negeri turut mengesahkan siasatan berhubung serangan itu akan dijalankan tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak. – KOSMO! ONLINE