KUALA TERENGGANU – Seorang murid tahun dua sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini mendakwa menjadi mangsa buli sekumpulan rakan sekolahnya sehingga mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang hidung baru-baru ini.
Insiden pada 30 Julai itu juga menyebabkan mangsa berusia lapan tahun terpaksa menjalani pembedahan bagi menyambung semula tulang hidungnya yang patah di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Ibu mangsa, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, mendakwa, anak lelakinya mengadu dibelasah oleh beberapa murid sejurus tamat sesi kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sekolah berkenaan pada hari kejadian.
Dia mendakwa, anaknya mengadu diserang beramai-ramai dengan kedua-duanya dipegang sebelum ditolak, ditendang dan ditumbuk
sehingga terjatuh ke tanah serta muka terhantuk.
“Panik melihat anak saya pulang ke rumah keadaan hidung berdarah serta muka lebam.
“Saya segera membawa anak ke klinik swasta berhampiran sebelum pemeriksaan X-ray mengesahkan tulang hidung dia patah,” dakwanya ketika ditemui di pekarangan HSNZ di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.
“Siasatan awal mendapati kes ini dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek. Kes ini telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya. – KOSMO! ONLINE