WASHINGTON – Seorang lelaki warga China berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun selepas cuba menyeludup 850 ekor kura-kura yang dilindungi ke Hong Kong dari Amerika Syarikat (AS), lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Wei Qianglin mengaku bersalah di mahkamah daerah persekutuan AS atas kesalahan mengeksport lebih 200 bungkusan yang mengandungi kura-kura hidup antara Ogos 2023 hingga November 2024.
“Setiap bungkusan itu dilabel sebagai ‘mengandungi mainan haiwan plastik’, manakala kura-kura tersebut dibalut dengan stoking.
“Haiwan yang dirampas terdiri daripada kura-kura kotak timur dan kura-kura tiga jari. Kedua-dua spesies ini berasal dari AS,” kata Jabatan Kehakiman.
Pihak berkuasa berkata, kura-kura itu berjaya dipintas oleh penguatkuasa undang-undang semasa Qianglin menjalani pemeriksaan sempadan.
Ia mempunyai nilai pasaran sebanyak AS$1.4 juta (RM5.9 juta).
Selain kura-kura, lelaki tersebut turut mengeksport 11 bungkusan dipenuhi dengan reptilia termasuk ular berbisa. – AGENSI