PETALING JAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil maklum laporan media berhubung penahanan beberapa pegawai yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan termasuk dadah, rokok dan barangan lain.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, perkara itu kini dalam siasatan pihak berkuasa dan ATM akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut beliau, siasatan akan dijalankan secara terperinci dan ATM tidak akan melindungi atau berkompromi dengan mana-mana warganya yang terbabit dalam kegiatan salah.
“Tindakan disiplin tegas dan undang-undang akan diambil jika terbukti bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa masyarakat agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengelak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses tersebut.
Katanya, perkembangan berkaitan siasatan dan tindakan selanjutnya akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE