TAMPIN – Tentera darat akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) latihan operasi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) susulan kematian pelatih kadet di Johor baru-baru ini.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, latihan operasi tempur yang disertai pelatih kadet itu merupakan latihan berisiko tinggi kerana melibatkan penggunaan peluru hidup.
Bagaimanapun katanya, latihan itu bertujuan untuk menguji dan meningkatkan daya tahan, keyakinan serta keberanian anggota dan pegawai dilatih.
“Sebab itulah semasa latihan ini dilaksanakan untuk 112 pegawai kadet Palapes untuk setiap satu sesi itu lebih 20 pegawai dan jurulatih ditempatkan untuk mengawasi eksesais tersebut.
“Eksesais ini tidak lama, cuma mengambil masa 15 minit. Jadi, kita akan teliti semula SOP ini dari aspek mungkin pemeriksaan kesihatan pelatih kadet dengan lebih teliti sebelum memulakan latihan walaupun secara umumnya, pegawai kadet itu sihat atau fit for training,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin Gemas, di sini hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Kadet Palapes Universiti Teknologi Malaysia, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lalu selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) Ulu Tiram. – KOSMO! ONLINE