PETALING JAYA – Havoc Food Festival (HFF) diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Jelajah Festival Makanan Terbesar Malaysia selepas diadakan hampir semua negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn. Bhd., Datuk Firdaus Nadxaman berkata, secara keseluruhan festival berkenaan telah menarik lebih 18 juta pengunjung.
Lebih menarik katanya, festival berkenaan telah menghimpunkan lebih 300 usahawan dan selebriti yang terlibat dalam bidang terbabit dengan hidangan warisan setiap negeri serta menu viral terkini.
“Kejayaan ini adalah hasil dedikasi seluruh pasukan Havoc, vendor, artis, pihak berkuasa tempatan, rakan kerjasama, dan jutaan pengunjung yang hadir di setiap lokasi.
“Dari Johor hingga Sabah, dari Sarawak hingga Perlis, HFF bukan sekadar tentang makanan, ia tentang komuniti, kebersamaan, dan meraikan kepelbagaian rasa Malaysia.
“Pengiktirafan ini membuktikan kekayaan budaya kulinari negara, dan kami berbangga menjadi pemacu utamanya,”katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, dengan pengiktirafan itu, HFF bukan sahaja mencatat sejarah baharu, malah menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran festival makanan berskala mega di Malaysia.
Ia juga katanya akan menjadi inspirasi kepada penganjur lain untuk terus mengangkat industri kulinari tempatan ke pentas dunia.-KOSMO! ONLINE