fbpx
ARMIZAN Mohd. Ali diemui pemberita selepas menghadiri Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan sebelum ini.

Dewan Rakyat: Program Jualan Rahmah Madani catat 15.6 juta transaksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15,626,464 transaksi direkodkan menerusi 13,060 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat sehingga Julai lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, bilangan penganjuran jualan PJRM akan diperbanyakkan dan kekerapan juga akan ditingkatkan.

“KPDN menyasarkan pelaksanaan 20,000 siri PJRM di seluruh negara bagi tahun 2025, meliputi 222 kawasan Parlimen, lebih 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan.

“Program ini menawarkan penjualan barangan keperluan harian, makanan dan bukan makanan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung jumlah sebenar rakyat yang disasarkan untuk menerima manfaat secara langsung daripada PJRM.

Terdahulu, Armizan berkata, kerajaan
telah meningkatkan peruntukan Inisiatif Payung Rahmah dalam Belanjawan 2025 daripada RM200 juta kepada RM300 juta termasuk RM252 juta untuk PJRM.

Kata beliau, pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta khusus bagi memperkukuh pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani.

“Ini menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan Inisiatif Payung Rahmah bagi tahun 2025 adalah RM600 juta termasuk RM552 juta khusus untuk PJRM,” katanya.

Kata beliau, bagi memastikan peningkatan keberkesanan pelaksanaan melalui tambahan peruntukan itu, tiga elemen utama PJRM akan ditambah baik.

Jelas beliau, elemen terlibat adalah penambahan kekerapan pelaksanaan, penambahan jenis barangan dan kepelbagaian model pelaksanaan PJRM.

“Ia akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh melalui tiga model iaitu jualan dalam premis; jualan di kawasan terbuka, luar premis dan premium dan jualan secara bergerak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI