fbpx
Zambry pada sidang dewan rakyat hari ini. FOTO JABATAN PENERANGAN

Dewan Rakyat: Siasatan kematian pelatih Palapes diketahui dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hasil siasatan berhubung kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Kementerian Pertahanan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes itu yang turut disertai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jawatankuasa khas berkenaan akan membuat kajian dan memastikan laporan lengkap dapat disediakan dalam kadar segera berhubung kematian pelajar itu.

“Kes di peringkat siasatan dan laporan dijangka diketahui dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berhubung perkembangan kes kematian Syamsul Haris.

Zambry berkata, beliau telah melawat keluarga Allahyarham Syamsul Haris dan mendengar sendiri daripada ibu mangsa tentang keadaan anaknya.

Katanya, beliau telah memaklumkan kepada Peguam Negara mengenai permohonan rasmi ibu Allahyarham supaya siasatan semula dijalankan.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan melindungi mereka yang terbabit buli atau kekerasan di institusi pendidikan tinggi.

“Jika kes dianggap berat dan membabitkan jenayah, kita tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis,” katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas dianggotai tiga agensi bagi menyiasat kematian pelajar tersebut.

Sebelum ini, polis mengesahkan tiada kecederaan berunsurkan jenayah dikesan dalam kematian Syamsul Haris.

Bagaimanapun, ibu Allahyarham mengesyaki terdapat perlakuan jenayah dalam kes kematian anaknya berdasarkan kesan pada jenazah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI