KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hampir mencapai sasaran membina 500,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) apabila 492,000 unit atau 98.4 peratus telah siap setakat Mac 2025.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu hasil usaha berterusan agensi seperti PR1MA dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam menyediakan kediaman berkualiti serta mampu milik khususnya untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Rumah bukan sekadar batu bata dan simen, ia dibina berasaskan harapan dan impian. Setiap rakyat berhak memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama khas pada Majlis Perasmian ASEAN Sustainable Urbanisation Foruk (ASUF), ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) dan Meeting of Governors and Mayors od ASEAN Capital (MGMAC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurut beliau, KPKT komited menjadikan perumahan awam bukan sahaja ‘layak didiami’ tetapi juga ‘disayangi’ dengan menambah baik kemudahan dan persekitaran.
“Kajian Kementerian Kesihatan dan UNICEF mendapati lebih 12 peratus kanak-kanak di Program Perumahan Rakyat (PPR) berdepan masalah kesihatan mental seperti keresahan dan kemurungan.
“Bagi mengatasi masalah itu, Urbanice Malaysia memperkenalkan Community Hub @ PPR yang mengubah ruang bersama tidak digunakan kepada perpustakaan mini, manakala program Kita Untuk Kita oleh Think City memberikan geran bagi menceriakan kawasan kediaman melalui penglibatan komuniti,” katanya.
Tambah beliau, perumahan awam kini diberi penjenamaan baharu sebagai Program Residensi Rakyat dengan ciri kelestarian seperti sistem penuaian air hujan, ruang pertanian bandar dan panel solar bagi memastikan golongan miskin bandar tidak ketinggalan dalam peralihan kepada ekonomi hijau. – KOSMO! ONLINE