KOTA KINABALU – Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menetapkan empat perkara dipohon kepada Jabatan Peguam Negara.
Dalam kenyataan bersama, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi menyatakan permohonan itu seiring kenyataan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) semalam yang memaklumkan pengambilalihan siasatan kematian Allahyarhamah Zara Qairina oleh Pasukan Task Force dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menerusi kenyataan sama kesemua perkara itu terkandung di dalam surat bertarikh 5 Ogos 2025.
“Salah satu permohonan adalah kertas siasatan dikembalikan kepada pihak PDRM dan siasatan dibuka semula.
“Kedua, proses siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
“Kubur Zara digali semula agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Selain itu, satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara,” Katanya.
Dalam pada itu, pihak peguam berharap perkembangan positif ini diharap dapat merungkai isu kematian Zara dan seterusnya membuktikan bahawa wujud unsur jenayah yang telah menyebabkan kematian tersebut. – KOSMO! ONLINE