PETALING JAYA – World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dinobatkan sebagai Best Established MICE Venue and Special Event pada majlis Anugerah Industri Pelancongan 2025 (TIA 2025) pada Sabtu lalu.
Anugerah itu disampaikan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling dan Pengerusi Penganjur TIA 2025, Datuk Emmy Suraya Hussein.
Penganjuran TIA 2025 oleh Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) bersama Tourism Selangor dan Majalah Santai Travel bertujuan mengiktiraf pemain industri yang meningkatkan standard penyampaian pengalaman pelancongan inklusif dan berkualiti di Malaysia.
Acara itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL merangkap Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk menjadi peneraju industri MICE atau acara perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Hal ini akan membangkitkan lagi semangat bagi mengukuhkan aspirasi WTCKL untuk menjadikan Malaysia sebagai hab Acara Perniagaan global.
“Juga mengetengahkan hospitaliti Malaysia yang tiada tandingan di dunia.” katanya.
Sebagai pusat konvensyen ikonik negara, WTCKL terus mengukuh kedudukan sebagai destinasi pilihan utama penganjuran acara dengan perkhidmatan bertaraf dunia.
Anugerah ini juga menjadi pemangkin WTCKL untuk terus berkembang maju serta berdaya saing terutamanya dalam industri Acara Perniagaan. – KOSMO! ONLINE