SEBERANG PERAI – Bapa kepada Muhammad Syahmi Azril Saidijamal, 18, pelajar yang berdepan kekangan kewangan untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam di sini mengakui terpaksa menjual kereta bagi menampung perbelanjaan anak dan keluarganya.
Akui Saidijamal Abu Said, 43, dia terpaksa berkorban menjual kereta Proton Iswara Aeroback dua minggu lalu demi membiayai kos perjalanan termasuk menyewa kereta untuk menghantar anak sulung mereka ke IPG.
“Saya tak mahu kacau dan guna duit anak (Muhammad Syahmi) hasil pemberian orang ramai. Demi masa depan anak sulung, saya sanggup jual kereta yang dibeli sejak 10 tahun lalu.
“Wang jualan kereta yang diterima sebanyak RM800 itu digunakan untuk kos perjalanan sepanjang kami mai (datang) ke sini (Pulau Pinang) termasuk makan minum kami sekeluarga, hari ini.
“Malah, sebahagiannya juga digunakan untuk urusan sekolah dua anak termasuk isteri yang dijangka menjalani rawatan radioterapi akibat kanser payudara tahap empat September nanti,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Bercerita lanjut katanya, hari ini merupakan kali pertama anak sulungnya itu bersama dua adik lelakinya berjalan jauh, keluar dari Kedah.
“Kami keluar awal pada pukul 5.45 pagi tadi dan tiba di sini pada pukul 7.30 pagi. Kami hadir bersama kira-kira 15 sanak-saudara termasuk ibu dan ayah mertua. Urusan hari ini berjalan lancar.
“Walaupun sedih dengan apa yang berlaku (kesempitan wang) termasuk isteri yang sakit tapi sebagai ayah saya bangga kerana Muhammad Syahmi akhirnya berjaya menjejak kaki ke IPG.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua atas sumbangan dan bantuan kewangan kepada anak saya. Semoga anak saya dapat membalas balik jasa semua dengan belajar bersungguh-sungguh.
“Saya doa dia berjaya menjadi seorang guru dan bantu orang lain yang berdepan kesusahan,” ujarnya dalam nada sebak.
Jun lalu, Muhammad Syahmi telah mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia termasuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, kerajaan negeri Kedah dan pertubuhan bukan kerajaan iaitu Kelab Anak-anak Sik selepas kisahnya disiarkan Kosmo!.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan impian remaja itu untuk melanjutkan pengajian di IPG Kampus Tuanku Bainun mungkin tidak kesampaian ekoran kekangan kewangan yang dihadapi keluarganya. – KOSMO! ONLINE