fbpx
Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah MQA di sini, malam ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

TVET kini setaraf bidang akademik – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia memperkenalkan garis panduan artikulasi antara program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan program akademik bukan TVET.

Garis panduan itu adalah bagi membolehkan graduan TVET melangkah ke peringkat akademik tertinggi tanpa halangan struktur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut membolehkan graduan TVET mencapai kelayakan di peringkat Sarjana dan Kedoktoran menerusi program Master of Professional Practice dan Doctor of Professional Practice yang diluluskan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Ini adalah pemangkin perubahan. Ia mencerminkan komitmen kita untuk melahirkan bakat yang berkemampuan tinggi dan bertaraf dunia.

“Kita komited menyediakan laluan TVET yang setaraf dan setanding dengan bidang akademik lain serta melahirkan graduan yang diiktiraf di semua sektor industri, sama ada di dalam negara atau di pentas antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah MQA di sini, malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kejayaan ini adalah sebahagian usaha mengubah persepsi lapuk bahawa TVET hanyalah pilihan terakhir dalam pendidikan.

Katanya, pelancaran platform UP_TVET pada 2023 yang menerima lebih 90,000 permohonan pada tahun pertama dan melonjak kepada lebih 200,000 pada 2024 adalah bukti keyakinan rakyat terhadap laluan pendidikan tersebut.

“Dengan 1,398 institusi, puluhan ribu tenaga pengajar, dan ratusan ribu pelajar aktif, ekosistem TVET Malaysia kini bukan sekadar pelengkap dasar. Ia sudah menjadi nadi utama pembangunan negara. ” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedang meminda Akta 652 bagi mengiktiraf tahap kepakaran tinggi dalam TVET, sekali gus mewujudkan laluan kemajuan setara bidang akademik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI