SIPITANG – Polis akan meningkatkan rondaan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol selepas lokasi yang menempatkan kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendapat perhatian ramai baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand berkata, langkah itu juga bagi menjamin keselamatan dan privasi penduduk di sekitar tanah perkuburan tersebut.
“Ia termasuk memasang garisan polis pada jarak 100 meter dari kubur dan menugaskan penduduk sebagai pengawas komuniti di kawasan tersebut.
“Rondaan akan dilaksanakan secara berkala oleh anggota polis dengan bantuan penduduk sebagai penjaga di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Awang meminta orang awam khususnya pencipta kandungan supaya menghormati privasi penduduk yang tinggal berhampiran tanah perkuburan tersebut.
Tanah perkuburan itu mendapat perhatian ramai berikutan proses penggalian semula pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan, Allahyarham Zara Qairina kelmarin.
Selepas proses bedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu selesai pada pukul 7.30 malam, Ahad. Jenazah kemudian dibawa keluar dari hospital pada pukul 9.20 malam menuju ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol.
Proses pengebumian semula jasad Zara Qairina mengambil masa 30 minit dan selesai pukul 1 pagi. Peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri memaklumkan laporan bedah siasat dijangka siap dalam masa dua minggu. – KOSMO! ONLINE