fbpx
Gambar hiasan

Penangguhan pembukaan WCE Seksyen 3 jejaskan sektor logistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persatuan Haulier Malaysia (AMH) melahirkan kebimbangan terhadap penangguhan pembukaan Seksyen 3 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Persimpangan SAE ke Persimpangan FHR 2 (Klang/Shah Alam) yang difahamkan berpunca daripada isu pengambilan tanah di Kampung Jawa.

Setiausaha Eksekutif AMH, Mohamad Azuan Masud berkata, seksyen berkenaan merupakan laluan penting yang dijangka dapat mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan, Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Baru Lembah Klang dan Lebuh Raya Shah Alam.

Jelasnya, ini khusus bagi pergerakan kenderaan perdagangan dari kawasan perindustrian ke Pelabuhan Klang.

Menurutnya, kelewatan itu memberi kesan langsung terhadap operasi lebih 10,000 peralatan pengangkutan ahli persatuan seperti prime mover (kepala treler) dan treler apabila terpaksa bergantung kepada laluan sedia ada yang semakin sesak.

“Keadaan itu bukan sahaja meningkatkan masa perjalanan, malah menambah kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan menjejaskan jadual penghantaran.

“WCE adalah infrastruktur strategik yang dirancang untuk menyokong kelancaran sektor logistik di sepanjang pantai barat. Penangguhan ini memberi kesan besar kepada pengusaha pengangkutan, terutama yang memerlukan akses pantas ke dan dari Pelabuhan Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, walaupun memahami proses pengambilan tanah adalah rumit, semua pihak perlu mencari penyelesaian segera demi kepentingan ekonomi negara.

“AMH menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Kerja Raya, kerajaan negeri, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan syarikat konsesi mempercepatkan usaha menyelesaikan isu tanah supaya projek itu dapat disiapkan mengikut jadual,” ujarnya.

Mohamad Azuan berkata, pihaknya turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pemain industri bagi mengurangkan kesan kelewatan serta memastikan sektor logistik dan pengangkutan negara kekal berdaya saing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI