PUTRAJAYA – Lebih 8.6 juta rakyat akan menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mulai esok melibatkan peruntukan berjumlah RM2 bilion sebagai langkah meringankan kos sara hidup isu rumah berpendapatan rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap individu berkelayakan akan menerima bayaran sehingga RM650 dengan peningkatan penerima seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima bagi Fasa 1 pada Januari lalu.
Menurut beliau, peningkatan ini hasil daripada langkah Kerajaan Madani membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan Madani tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak.
“Ia agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi Madani.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan menjelaskan, pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai STR. – KOSMO! ONLINE