KUALA TERENGGANU – Semua murid dan pelajar sekolah seluruh negara akan diwajibkan melaungkan ungkapan ‘Kami Anti Buli’ sebelum dan selepas sesi persekolahan dalam usaha membanteras gejala tersebut.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pendekatan tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi membina semula mentaliti dan psikologi pelajar selain mewujudkan suasana sekolah yang selamat.
“Semua pengetua dan guru besar perlu pastikan sebelum masuk kelas, murid (dan pelajar) melaungkan ‘Kami benci buli’.
“Begitu juga sebelum tamat sesi sekolah. Inilah perang yang kita isytiharkan terhadap budaya buli,” katanya selepas Majlis Apresiasi Guru Madani dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tingkatan Enam di di sini, hari ini.
Mohd. Azam berkata, KPM turut akan melaksanakan audit keselamatan di semua sekolah yang diselenggarakan Jemaah Nazir.
Beliau berkata, laporan audit keselamatan tersebut akan dibentangkan kepadanya setiap minggu
“Ia bertujuan agar tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan kes buli dan gangsterisme, sama ada di sekolah harian atau asrama.
“Bilangan warden asrama akan ditambah, televisyen litar tertutup (CCTV) akan dipasang di lokasi strategik selain memperkukuh prosedur keselamatan sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE