GUA MUSANG – Ibu kepada dua penumpang Honda Civic EK sempat berhubung dengan anaknya 30 minit sebelum mereka maut dalam nahas kereta bertembung treler di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di sini hari ini.
Adik mangsa, Muhammad Fakris Nor Amran, 23, berkata, abang, Muhammad Faiz, 32, bersama dua anak, Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4, dan adiknya, Nor Aina Imra Nor Amran, 21, dalam perjalanan dari Lembah Klang untuk pulang ke Pasir Mas.
Menurutnya, mereka sekeluarga menyertai Himpunan Pemilik Kereta Honda di Sepang, Selangor pada Sabtu lalu.
“Kami sekeluarga terkejut menerima berita abang, adik dan dua anak saudara saya terlibat dalam kemalangan maut di Gua Musang.
“Saya ada menghubungi Nor Aina Imra kira-kira pukul 7.30 pagi yang memaklumkan bahawa dia masih berada di luar kawasan Gua Musang. Sejam kemudian iaitu pada pukul 8.30 pagi, ibu ada menghubungi dan bercakap dengan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini hari ini.
Muhammad Fakris memberitahu, dia dan keluarganya mengetahui abang, adik dan dua anak saudaranya meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi iaitu kira-kira sejam setengah selepas kejadian.
Menurutnya, mereka sekeluarga sempat menziarahi ibu saudara di Kuala Lumpur sebelum merancang pulang ke Pasir Mas awal pagi tadi.
“Mereka tinggal bersama ibu dan bapa di Kampung Padang To’ La, Pasir Mas dan jenazah mereka dijangka akan dibawa pulang ke Pasir Mas untuk upacara pengebumian,” katanya. – KOSMO! ONLINE