KUALA LUMPUR – Tindakan berani seorang warga asing yang memandu kereta mewah menggunakan lesen memandu palsu terbongkar menerusi Ops Luxury 3.0 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar ibu kota sejak Sabtu lalu.
Individu terbabit telah ditahan kerana memandu melebihi had laju dari arah Kuantan menuju ke ibu negara di sekitar Gombak.
Lebih mengejutkan, ada antara mereka turut didapati memandu tanpa cukai jalan, lesen memandu sah serta perlindungan insurans, malah dipercayai menggunakan dokumen palsu itu sejak setahun lalu.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi yang berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos itu mengesan 12 warga asing memandu kenderaan mewah, sembilan daripadanya melakukan pelbagai kesalahan trafik.
“Antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh serta penggunaan lesen memandu palsu.
“Kes ini membuktikan ada warga asing yang sewenang-wenangnya mencabar undang-undang Malaysia dengan memandu kereta mewah bernilai lebih RM500,000 tanpa mematuhi peraturan,” katanya pada sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur, disini malam tadi.
Beliau tidak menolak kemungkinan wujud sindiket menjual dokumen palsu termasuk lesen memandu Malaysia dan permit memandu antarabangsa (IDP).
“Kita akan jalankan siasatan terperinci dan tidak mustahil operasi seterusnya akan menjurus kepada pembongkaran sindiket ini,” ujarnya.
Muhammad Kifli berkata, kebanyakan pemandu yang ditahan berasal dari Asia Selatan, dengan pelbagai alasan lapuk diberikan seperti ‘terlupa’ memperbaharui cukai jalan atau mendakwa kenderaan milik rakan.
Tambahnya, JPJ akan memperhebat operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia bagi memastikan warga asing tidak sesuka hati melanggar undang-undang.
“Isnin ini saya akan mengangkat (bawa) kertas cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lebih drastik terhadap kesalahan ini,” katanya.
Beliau turut menggesa orang awam menyalurkan maklumat pelanggaran undang-undang menerusi aplikasi MyJPJ atau emel [email protected] dengan butiran lengkap bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE