PETALING JAYA – Sekumpulan bapa menarik perhatian pengguna media sosial apabila bermain permainan video Counter-Strike bersama-sama di luar rumah dalam satu kawasan perumahan pada waktu malam.
Menerusi video dimuat naik pengguna TikTok @muhaiminzamani, kesemua mereka yang merupakan jiran dalam kawasan perumahan tersebut bermain permainan video Counter-Strike di hadapan rumah salah seorang daripada mereka.
Pada video itu kelihatan, mereka duduk di kerusi serta meletakkan meja dan bermain permainan video tersebut menggunakan komputer riba.
“Anak dah tidur, bapa-bapa main CS (Counter-Strike) kat luar,” menurun kapsyen pada video berkenaan.
Hantaran itu menarik minat orang ramai khususnya peminat permainan video dalam kalangan lelaki, malah ada yang berseloroh mahu berpindah ke kawasan perumahan berkenaan.
“Inilah masalah bapa-bapa generasi sekarang. Dia fikir seronok dia saja. Tanggungjawab entah ke mana. Berkumpul ramai-ramai main game? Habis saya ni macam mana? Kenapa tak ajak saya,” komen seorang pengguna TikTok berseloroh mahu menyertai kumpulan bapa tersebut.
“Mak ai, dah besar pun main lagi. Tolong matang sikit. Bang, macam mana nak ‘download’, ada fail ke?,” kata seorang lagi pengguna TikTok yang mahu menyertai kumpulan berkenaan.
“Bang, apa benda ni. Malam-malam orang duduk dengan keluarga, tenang-tenang dengan anak. Anak perlu kasih sayang. Ada kerusi kosong lagi tak? Laptop dah ada ni. CS pun dah ‘download’, asyik main dengan BOT je, bosan lah,” komen seorang lagi individu. – KOSMO! ONLINE
@muhaiminzamani masing2 lepas geram #counterstrike #fyp ♬ Nan Ko Paham – Kkz D Blg