PONTIAN – Dorongan isteri membawa tuah buat seorang jurukimpal apabila memenangi wang tunai RM30,000 selepas muncul juara pertandingan memancing di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak, di sini, hari ini.
Pertandingan memancing yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan anjuran Pejabat Daerah Pontian dengan kerjasama d Joran Bagus itu berjaya menarik 1,600 peserta.
Pemenangnya, Mohd. Amir Syafiq Hamdan, 29, dari di Kampung Kayu Ara Pasong berjaya menaikkan ikan kurau seberat 3.67 kilogram pada pukul 11.20 pagi.
Katanya, sepanjang acara tersebut, dia ditemani isteri, Siti Aishah Shamsudin, 29, yang mengambil cuti bertugas di sebuah stesen minyak di Pontian dan tidak menyangka penyertaan tersebut membawa tuah hari ini.
“Isteri saya suruh masuk pertandingan memancing, saya guna udang kopek dan menunggu tiga jam selepas pertandingan bermula pada pukul 8.30 pagi. Ternyata berbaloi walaupun cuaca panas terik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampian hadiah oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Haziq Abd. Latiff. Turut hadir, Pengarah Urusan d Joran Bagus, Azmi Nan.
Tambah Mohd Amir Syafiq, kemenangan hari ini adalah yang pertama walaupun sebelum ini pernah menyertai pertandingan memancing bagi mengisi hobi pada hujung minggu.-KOSMO! ONLINE