RAWANG – Dua lelaki cedera ketika melakukan aktiviti mandi-manda di air terjun Taman Eco Rimba Kanching, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.25 tengah hari.
Menurutnya, setibanya di lokasi 10 minit kemudian, pasukan penyelamat dimaklumkan seorang lelaki berusia 19 tahun cedera ketika mandi di kawasan air terjun di tingkat empat.
“Mangsa pertama mengalami luka di bahu dan tulang rusuk kiri akibat terjatuh ketika mandi.
“Semasa operasi, pihak bomba menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat seorang lagi mangsa lelaki berusia sekitar 30-an cedera di tingkat tujuh.
“Mangsa kedua mengalami kecederaan di kaki dan pendarahan di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa pertama ditemui pada pukul 1.30 petang manakala yang kedua ditemui setengah jam kemudian.
“Kedua-dua mangsa tidak saling mengenali dan berjaya dibawa turun sebelum diserahkan kepada pihak Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Operasi yang melibatkan kekuatan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikawal sepenuhnya pada pukul 2.20 petang. – KOSMO! ONLINE