KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu termasuk selebriti, pempengaruh dan ahli perniagaan yang gagal memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, hasil risikan terbaru mendapati dua selebriti tanah air tersenarai antara pemilik kenderaan terbabit.
“Berdasarkan pemantauan hari ini (semalam) , kenderaan milik mereka tidak digunakan di jalan raya.
“Namun, jika ia dikesan beroperasi tanpa cukai jalan yang sah, tindakan tegas akan diambil,” katanya pada sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur, disini malam tadi.
Menurut beliau, operasi pemantauan terhadap golongan VIP ini bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan semua pengguna jalan raya, tanpa mengira status, mematuhi undang-undang.
“Undang-undang adalah sama untuk semua, tiada pengecualian,” tegasnya.
Terdahulu, sebanyak 258 kenderaan mewah pelbagai jenama disita JPJ sepanjang tiga siri Ops Luxury 3.0 yang dijalankan di seluruh negara bermula 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.
Muhammad Kifli berkata, operasi terbaharu pada 7 Ogos hingga semalam melibatkan 104 kenderaan yang ditahan, termasuk milik tempatan dan warga asing. – KOSMO! ONLINE