KUALA NERUS – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan kemasukan pelajar asing ke universiti awam tempatan kurang tiga peratus dan tidak menjejaskan langsung peluang pelajar tempatan melanjutkan untuk pengajian.
Menteri KPT, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, berdasarkan rekod Unit Pusat Universiti (UPU), 97.26 peratus atau 497,020 pelajar prasiswazah di universiti awam (UA) merupakan warga tempatan.
“Pelajar asing pula cuma 13,986 orang atau 2.74 peratus terdiri daripada pelajar asing. Angka ini jelas membuktikan kuota pelajar tempatan tidak diambil untuk diberikan kepada pelajar luar.
“Kouta ditetapkan kerajaan untuk rakyat tempatan langsung tidak disentuh,” katanya selepas merasmikan Kompleks Akademia Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong yang juga Presiden MCA, mendakwa kononnya berlaku lambakan pelajar China di beberapa UA, termasuk bagi program asasi.
Zambry berkata, semua universiti awam diwajibkan memenuhi kouta pelajar tempatan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum membuka ruang kepada pelajar asing selaras dengan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau beliau turut menepis dakwaan kononnya yuran pengajian pelajar asing lebih murah berbanding pelajar tempatan.
“Tuduhan itu tidak berasas, jangan mudah percaya fitnah seperti ini kerana kadar yuran berbeza mengikut kursus dan universiti. Hakikatnya pelajar asing tidak membayar lebih murah daripada rakyat tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE