KUALA NERUS – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperhalusi isu gangguan bekalan air di semua institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk masalah air kehitaman di Politeknik Kota Bharu (KB), Kelantan, yang tular baru-baru ini.
Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, setakat ini, kementerian belum menerima laporan terperinci mengenai masalah di Politeknik Kota Bharu, namun memaklumkan siasatan akan dijalankan sebaik maklumat lengkap diperolehi.
“Kita mahu tahu punca masalah terlebih dahulu sama ada ia berpunca daripada kerosakan, kebocoran atau bekalan air yang tidak mencukupi.
“Isu bekalan air di IPT bukan hanya berlaku di Kelantan malah turut dilaporkan di beberapa negeri lain seperti Sabah,” katanya selepas meninjau kemajuan projek tebatan banjir di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.
Zambry berkata, IPT hanyalah pengguna yang bergantung kepada bekalan disediakan pihak berkuasa negeri, namun KPT akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan syarikat utiliti air bagi memastikan masalah itu diatasi segera.
“Kalau ada IPT menghadapi gangguan air, mereka boleh terus maklumkan kepada kita untuk diambil tindakan. Kita akan cari jalan penyelesaian, sama ada melibatkan sistem dalaman institusi atau pembekal utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE