KUALA NERUS – Universiti swasta disyorkan melaksanakan Inisiatif Dapur Siswa yang membantu pelajar dalam kalangan golongan kurang berkemampuan atau B40 menangani beban kewangan dan kos sara hidup.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, inisiatif tersebut yang kini mula dirintis di universiti awam seluruh negara bertujuan memastikan tiada pelajar kelaparan akibat masalah kewangan.
Beliau berkata, Inisiatif Dapur Siswa membolehkan pelajar terlibat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran sekaligus mengelak mereka keciciran akibat tekanan kewangan.
“Saya telah tekankan kepada semua mahasiswa dan naib-naib canselor memaklumkan kepada kita, jangan membiarkan mereka (pelajar) yang mempunyai masalah kesulitan kewangan sehingga terpaksa berhenti (belajar).
“Yang tu kita tidak boleh terima. Kita faham ada antara mereka yang mengalami kesempitan kekangan kewangan keluarga,” katanya selepas menghadiri program In Person with Doc Zam sempena program Semarak Kampus Madani di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini malam tadi.
Terdahulu, seramai kira-kira 15 peratus pelajar universiti awam dan swasta negara ini mengakui pernah berdepan masalah kekurangan makanan akibat kekangan kewangan.
Zambry berkata, beliau percaya segelintir pelajar universiti swasta turut berdepan kekangan kewangan akibat kos sara hidup masa kini.
Beliau berkata, Inisiatif Dapur Siswa merupakan sebahagian pendekatan Semarak Kampus Madani yang bertujuan mendekati dan menjaga kebajikan pelajar universiti seluruh negara. – KOSMO! ONLINE