PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan melawat Kazan Helicopter Plant (KHP) yang menjadi antara pengeluar helikopter terbesar dunia.
Seri Paduka Baginda diiringi Presiden Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov ketika lawatan ke fasiliti berkenaan yang menjadi sebahagian daripada rangka Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ke Persekutuan Russia.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ketibaan Seri Paduka bersama Minnikhanov disambut Ketua Pengarah KHP, Nikolay Yakovlev.
Dalam lawatan itu, Sultan Ibrahim diberi taklimat mengenai proses pembuatan serta teknologi terkini dalam penghasilan pelbagai jenis helikopter termasuk untuk kegunaan komersial, ketenteraan dan misi penyelamatan.
Baginda turut berkenan meninjau secara dekat operasi pemasangan dan ujian kualiti helikopter yang dijalankan di KHP.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berangkat mengadakan Lawatan Negara ke Russia sejak 5 Ogos lalu hingga esok atas jemputan Presiden Vladimir Putin.
Istana Negara dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Seri Paduka melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Russia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada 1967. – KOSMO! ONLINE