PETALING JAYA – MCIS Insurance Berhad (MCIS Life) mengukuhkan semula komitmen jangka panjangnya terhadap pertumbuhan mampan, perlindungan inklusif dan kecemerlangan operasi selepas melalui setahun transformasi yang menguji daya tahan sektor insurans Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prasheem Seebran berkata transformasi strategik syarikat kekal berteraskan matlamat utamanya iaitu melindungi nyawa, mencipta nilai yang berkekalan dan berkhidmat kepada komuniti dengan empati serta inovasi.
“Tahun 2024 merupakan tahun penentu bagi MCIS Life dan ia adalah tahun yang menonjolkan kemampuan terbaik kami, mengukuhkan nilai-nilai, mempertingkatkan rasa tujuan kami dan mempertajamkan fokus strategik.
“Kami bertindak dengan tangkas, berdisiplin dan mempunyai dorongan berterusan untuk berinovasi serta mencipta impak yang bermakna,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Prasheem menerangkan, melalui pelaksanaan berdisiplin dan inovasi, pihaknya muncul lebih kukuh dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menyampaikan nilai mampan kepada pemegang polisi, rakan kongsi dan pemegang saham.
Tambah beliau, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos penjagaan kesihatan yang memberi tekanan kepada industri, MCIS Life tetap mencatat prestasi kukuh pada 2024 sambil membina asas penting untuk pertumbuhan masa depan.
Syarikat melaporkan peningkatan 13.7 peratus dalam Annual Premium Equivalent (APE) kepada RM219.7 juta, serta pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.9 peratus dalam Premium Ditulis Kasar kepada RM767.1 juta.
Perkembangan positif ini didorong oleh sumbangan kukuh daripada saluran agensi dan pengedaran kumpulan.
Ini dicapai walaupun tuntutan perubatan meningkat akibat kenaikan kos penjagaan kesihatan.
Sebagai langkah tindak balas, MCIS Life akan melaksanakan strategi pengurusan insurans perubatan yang berstruktur pada 2025 untuk memastikan produk kekal mampu milik dan berdaya tahan jangka panjang, di samping mematuhi panduan pengawal selia serta mengekalkan pendekatan berorientasikan pelanggan.
Inisiatif transformasi utama lain termasuk memperluas dan mempelbagaikan pasukan agensi, dengan 610 ejen baharu direkrut dalam tahun kewangan terbaharu.
“MCIS Life juga melabur secara strategik dalam latihan yang dipertingkatkan, alat produktiviti serta program insentif berstruktur bagi meningkatkan pengaktifan ejen, kadar pengekalan dan prestasi di pasaran baharu dan sedia ada,” ujarnya.
Bagi meningkatkan lagi kecekapan operasi dan perkhidmatan pelanggan, MCIS Life sedang melaksanakan Sistem Pentadbiran Polisi (PAS) baharu bagi perniagaan Kumpulan dan Affinity. Platform ini akan meningkatkan skalabiliti, mengurangkan kerumitan dan mempercepatkan masa pemprosesan, terutamanya bagi pelanggan korporat berjumlah besar dalam segmen Faedah Pekerja.
Prasheem menerangkan, penggunaan pandangan berasaskan data yang lebih baik membolehkan syarikat mengurus risiko dengan lebih berkesan, menyesuaikan penawaran mengikut keperluan pelanggan yang berubah-ubah dan memberikan penglibatan yang lebih diperibadikan.
Ini meletakkan asas untuk masa depan yang lebih tangkas dan berdaya digital,” katanya.
Pada masa yang sama, MCIS Life turut memperkukuh usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Inisiatif unggul Purple Truck, dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, telah menyediakan saringan pencegahan dan vaksinasi HPV percuma kepada lebih 22,000 rakyat Malaysia pada 2024.
Unit kesihatan bergerak berkuasa solar itu turut dinaik taraf dengan ciri aksesibiliti yang lebih baik bagi menyantuni komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.
Inisiatif MCIS Life Legacy Forest juga diperluas, dengan penanaman pokok asli yang menyumbang kepada pemeliharaan biodiversiti dan pengimbangan karbon sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat mencapai sifar bersih menjelang 2050.
“Prinsip ESG kini telah diintegrasikan sepenuhnya ke dalam strategi pelaburan MCIS Life, membantu menyelaraskan prestasi kewangan dengan impak jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.
Memandang ke hadapan, beliau menerangkan, MCIS Life sentiasa membina perniagaan yang lebih kukuh, inklusif dan tangkas dari segi digital, yang meletakkan manusia dan matlamat di pusat segala yang dilakukan.
“Dengan kekuatan pasukan kami, kepercayaan rakan kongsi dan kejelasan visi jangka panjang, kami yakin dengan kemampuan kami untuk menyampaikan nilai yang mampan, memberi impak dan bersedia untuk masa depan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE