fbpx
Mohd. Uzir (tiga dari kanan) menunjukkan hasil tanaman nanas yang dijadikan jus untuk jualan di Program Mini Karnival Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Jeram Mengaji, Pasir Puteh hari ini. FOTO TOREK SULONG

Sektor pertanian negara didominasi petani warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Sektor pertanian negara didominasi oleh warga emas apabila sebanyak 45.43 peratus petani terdiri daripada golongan berusia 60 tahun ke atas mengusahakan pelbagai jenis tanaman.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, menerusi bancian yang dijalankan, data tersebut diikuti petani yang berusia dalam lingkungan 46 hingga 59 tahun dengan 32.34 peratus, 31 hingga 45 tahun (18.93 peratus) dan 15 hingga 30 tahun (3.29 peratus).

Menurutnya, statistik itu menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan sektor apabila penglibatan belia kekal rendah sekali gus menuntut usaha segera menarik minat generasi muda.

“Golongan lelaki mendominasi pemilikan pegangan pertanian individu iaitu 74.65 peratus berbanding wanita 25.35 peratus dengan Sabah dan Sarawak mencatatkan jumlah golongan lelaki tertinggi.

“Selain itu, sebanyak 99.2 peratus pemilik terdiri daripada pemilik warganegara Malaysia manakala hanya 0.8 peratus bukan warganegara,” katanya ketika ditemui pada Program Mini Karnival Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Jeram Mengaji di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir memberitahu, subsektor tanaman kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM117.88 bilion nilai jualan daripada 102.3 juta tan metrik hasil, diikuti ternakan (RM24.81 bilion), perikanan tangkapan (RM10.78 bilion), akuakultur (RM4.39 bilion) dan perhutanan atau pembalakan (RM3.83 bilion).

Menurutnya, aktivitibpertanian paling meluas adalah getah dengan 387,433 pegangan, diikuti kelapa sawit (246,047), padi (126,146), buah-buahan (90,106) dan sayur-sayuran (47,080).

“Kelapa sawit menjadi tanaman paling dominan dengan keluasan 5.82 juta hektar diikuti padi dan buah-buahan.

“Banci Pertanian 2024 dilaksanakan bagi memberikan gambaran sebenar landskap pertanian negara selain menjadi asas penting dalam merangka dasar, strategi dan insentif untuk meningkatkan daya saing sektor itu di peringkat global,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI