PETALING JAYA – Ramai ibu bapa mula menyedari kepentingan untuk merakam perbualan bersama anak lebih-lebih lagi yang tinggal berjauhan seperti di asrama penuh dan sebagainya.
Dalam hantaran di muat naik Sakinah Hamid di Facebook, dia pada mulanya hairan bagaimana ibu pelajar tingkatan 1, Allahyarhamah Zara Qairina boleh ada banyak rakaman perbualan dengan anaknya.
“Mulanya saya sangka beliau dapat rakaman dari syarikat telekomunikasi. Rekod penggunaan alat telekomunikasi kita memang boleh diakses semula oleh pihak berautoriti.
“Bila terbaca perkongsian seorang peguam, barulah saya tahu ada ibu yang sengaja rekod perbualan telefon dengan anak mereka,” tulisnya.
Katanya, tujuan para ibu atau bapa yang merekod perbualan bersama anak adalah untuk menghilangkan kerinduan apatah lagi berjauhan dan jarang berhubung dengan keluarga.
“Jadi petang tadi, anak saya di sekolah berasrama penuh telefon, jadi saya cuba tekan butang rakaman. Menarik fungsi ini, baru hari ini saya tahu.
“Bolehlah rakam bila anak telefon. Mereka cakap laju, laras bahasa pun berbeza. Jadi kita manfaatkan teknologi yang ada,” katanya.
Sementara itu, di ruangan komen ramai yang ibu bapa semakin cakna untuk mula merakam setiap perbualan dengan anak agar dapat menjadi bukti sekiranya apa-apa terjadi pada masa hadapan.
“Saya pun baru tadi pertama kali merakam perbualan dengan anak bongsu yang tinggal di asrama. Memanfaatkan teknologi. Sebelum ni tak nampak manfaatnya. MasyaAllah iktibar dari kisah Zara dan ibunya,” komen Rosmeza.
“Terima kasih perkongsian ni, bagi idea untuk ibu seperti saya lebih awal. Semoga rakaman suara arwah menjadi pengubat rindu ibunya,” komen Sherry.
“Sebenarnya bila rakam bukan sahaja boleh jadi bahan bukti kalau apa-apa berlaku. Tapi boleh jadi pengubat rindu juga kalau anak lama tak telefon. Terima kasih bagi idea ni, lepas ni saya akan mula rakam,” komen Ummu.
Allahyarhamah Zara Qairina, 13 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE