PETALING JAYA – Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok memberikan bantuan berterusan kepada dua rakyat Malaysia yang cedera dalam satu insiden di Ratchadamri, Bangkok, kelmarin.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, kedua-dua individu kini sedang menerima rawatan di hospital berasingan.
Menurut kenyataan itu, kedutaan berhubung rapat dengan pasukan perubatan yang merawat kedua-dua mangsa serta sedang memudah cara perjalanan ahli keluarga terdekat mereka, yang dijangka akan tiba di Bangkok hari ini.
“Pegawai konsular daripada kedutaan juga melawat dan memastikan bahawa kedua-dua mangsa serta keluarga mereka menerima sokongan dan bantuan yang diperlukan,” ujarnya.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dimaklumkan pihak berkuasa Thailand sedang menjalankan siasatan penuh terhadap insiden tersebut.
Katanya, Malaysia memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa Thailand untuk melaksanakan penyiasatan yang telus dan menyeluruh, selain akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika diperlukan.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi mengenai insiden ini dan memberi ruang agar proses siasatan berjalan seperti sepatutnya.
“Kementerian Luar Negeri, melalui semua pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara, terus komited untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada masa-masa sukar,” katanya.
Tambah kenyataan itu, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat atau Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri.
Sebelum ini media melaporkan, dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera parah selepas dibakar oleh seorang penganggur di Jalan Ratchadamri di Bangkok, Thailand pada Khamis malam.
Kejadian ngeri tersebut berlaku kira-kira pukul 10 malam apabila suspek lelaki secara tiba-tiga menuang cecair bahan pelarut (thinner) dari arah belakang dua mangsa berkenaan.
Mangsa, seorang lelaki dikenali sebagai Ong Yik Leong, 26, dan Gan Xiao Zhen, 27, yang ketika itu duduk di tangga berhampiran sebuah pusat membeli-belah terkejut dan terus melarikan diri.
Bagaimanapun, suspek terus mengejar sebelum menyalakan api dan membakar kedua-dua mangsa. – KOSMO! ONLINE